AL-ZUHRI

Asal Al-Zuhri

potraitzuhri.gif

Ahmad Zuhri Bin Mutammim dilahirkan di sebuah kampung di Jawa Timur dalam tahun 1905.

 

Beliau khatam al-Quran pada umur 10 tahun dan mendapat pendidikan peringkat rendah dan menengah di Madrasah Tanwirul Afkar di Belimbing (dekat Lamungan, di Jawa Timur) dari tahun 1915 hingga 1922.

 

Beliau kemudian menlanjutkan pelajaran di Perguruan Tinggi Islam di Surabaya dari tahun 1923 hingga 1930.


Beliau datang ke Singapura pada tahun 1930 untuk belajar bahasa Melayu serta Inggeris dan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama Islam. Pada tahun 1932, beliau mendirikan rumahtangga dengan Safiah, anak kepada Haji Abdul Halim Karto, seorang kathi dan Justice of Peace. Beliau dikurniakan enam orang cahaya mata.

Pada tahun 1950an, keluarganya berpindah ke Kampung Melayu,sidebarsejarah.gif Jalan Eunos, berhampiran dengan Masjid Alkaff Kampung Melayu. Pada tahun 1983, oleh kerana terjejas dengan rancangan pembangunan, keluarganya telah berpindah ke Chai Chee pula. Di sanalah, beliau menghembuskan nafas yang akhir pada pagi Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal 1405H bersamaan dengan 20 Jun 1985.


Pada 19 Mei 1956, Persatuan Guru-guru Agama Singapura atau ringkasnya, PERGAS telah ditubuhkan dan Yang DipertuaNya yang pertama ialah Allahyarham Kiyai Haji Ahmad Zuhri Bin Mutamim. Di bawah pimpinan Kiyai Ahmad Zuhri, Pergas telah gariskan perjuangan dan meletak pendirian serta peranannya dalam masyarakat.


Beliau mengajar dan bersyarah di masjid-masjid, surau-surau, kampung-kampung dan pondok-pondok. Beliau bertugas di Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dari 1945 hingga 1960. Bermulanya sebagai seorang guru dan kemudiannya, pada tahun 1952, dilantik menjadi guru besar. Beliau dilantik menjadi kadi pada tahun 1960. Kemudian kerana perubahan sistem, beliau dilantik semuala sebagai naib kadi.


Di antara lain, beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Petempatan Melayu dan beliau juga yang memberi nama Masjid Ansar. Beliau menjadi Ahli Jawatankuasa Fatwa pada zaman Mufti Haji Sanusi dan juga untuk beberapa tahun, pada zaman Mufti Syed Isa Semait. Dalam Majlis Fatwa, beliau selalu memberi sumbangan yang berkesan dengan menyiapkan hujjah-hujjah kepada masalah-masalah secara bertulis lengkap dengan senarai rujukannya.


Sebagai mengenang jasa beliau, pada 24 Disember 1979, beliau menjadi orang yang pertama mendapat penghormatan MUIS selaku Ilmiawan MUIS. Anugerah gelaran Ilmiawan itu diberi kerana pengakuan MUIS terhadap ilmu pengetahuan beliau dalam bidang agama dan sumbangan beliau yang amat besar kepada masyarakat Islam setempat. Tiga tahun kemudian, pada tarikh 18 Disember 1982, sebagai mengiktiraf dan mengenang sumbangan beliau, PERGAS pula telah memberi anugerah Jasawan PERGAS kepada beliau.


Demikianlah secebis rakaman tentang seorang guru yang telah menjadi guru kepada ramai asatizah pada tahun-tahun 50an sehingga 80an.